USIM STREET DAKWAH TAWAN PASAR SENI.
- Sha Ahmad
- Mar 19, 2015
- 2 min read

Sebahagian pengurusan USIM Street Dakwah dan wakil kumpulan Utusan
KUALA LUMPUR, 28 FEB 2015 - Berkonsepkan ‘busking’ dan santai, USIM Street Dakwah (USD) berjaya menggamit pengunjung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam.
USIM Street Dakwah yang julung kali diadakan ini memberi kelainan dan keunikan tersendiri dengan membawa konsep ‘sharing knowledge dan ‘sharing awarerness’.
Pendekatan seumpama ini dizahirkan melalui persembahan-persembahan yang disusuli mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat.
Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad turut hadir dalam program USD. Beliau yang turut mendeklamasikan sajak pada program tersebut berkata aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM ini merupakan suatu usaha yang kreatif dan murni dalam menyampaikan mesej kesederhanaan atau konsep wasatiyyah dalam Islam.
“Aspek seni di dalam program ini diketengahkan sebagai satu wadah dakwah untuk membawa masyarakat kepada kebaikan dan meninggalkan keburukan sejajar dengan tuntutan Islam iaitu amar ma’ruf nahi mungkar,” jelas beliau.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Dato’ Mohd Noordin Abbas, konsep ini sangat berkesan bagi mendekati Generasi Y yang sesuai dengan peredaran zaman pada masa kini.
“USIM tampil dengan konsep yang bertepatan dengan golongan sasaran khususnya pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat secara amnya, di samping pendedahan mengenai kesenian dan konsep-konsep dalam Islam secara santai,” ujar beliau ketika ditemu ramah.
Sementara itu, naib juara pertandingan realiti televisyen Imam Muda musim ke-2 Imam Muda Nazrul yang turut memberi tazkirah dalam program tersebut berkata penyampaian dakwah USD amat bagus.
“Penyampaian dakwah sebegini mampu menjadi ikutan masyarakat oleh kerana ianya sangat dekat dengan rutin seharian kita dan mudah untuk difahami sekali gus menghindari segala persepsi jumud mengenai dakwah hiburan sebegini," kata beliau.
USIM Street Dakwah diterajui 30 orang mahasiswa USIM terdiri daripada Urus Setia Kesenian Pelajar berhasrat meneruskan usaha menyebar luas dakwah Islam menerusi seni yang berlandaskan tuntutan agama dan akan meneruskan kerjasama dengan Kumpulan Utusan, Jabatan Pembangunan Wanita dan Malaysian Buskers Club dalam menganjurkan program-program seperti ini pada masa akan datang.
Link Berita Usim Street Dakwah lain: http://kebudayaan.usim.edu.my/aktiviti/buletin-usim/75-usd

Ketika sesi ramah mesra dengan pengunjung sekitar

Kumpulan The Bachelors USIM ketika membuat persembahan
Comments