top of page
Recent Posts
Follow Me
  • Facebook Long Shadow
  • Google+ Long Shadow
  • Twitter Long Shadow
  • LinkedIn Long Shadow
Search By Tags

Kelab Debat USIM Terus Tempa Nama

  • Ejen Berita Arika
  • May 16, 2015
  • 3 min read

Berkata-kata adalah sifat manusia yang lumrah namun tidak semua orang mampu melakar kata-kata dan menjadikannya sebagai kemahiran yang luar biasa. Debat merupakan salah satu cabang seni pengucapan awam yang memerlukan bukan sahaja lidah yang petah malahan pemikiran yang kritis dan kritikal.

Dilihat sebagai tegas dan lantang, debat bukan bertujuan semata untuk mencari lompong pada pihak lawan. Niat murni yang tersirat adalah untuk meyakinkan dan menyedarkan pihak lawan dan ahli dewan bahawa apa yang dilaungkan adalah lebih baik dan benar.

Seiring dengan landasan aqli dan naqli, debat dilihat sebagai platform dalam membantu mengasah kemahiran insaniah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sejak ditubuhkan pada tahun 2007, Kelab Debat (KD) USIM tidak putus-putus meniti kejayaan dalam arena perdebatan universiti.

Link Kelab Debat USIM

https://m.facebook.com/profile.php?id=331016128906&refsrc=https%3A%2F%2Fms-my.facebook.com%2Fpages%2FKelab-Debat-USIM%2F331016128906

Naib Canselor USIM, Professor Datuk Musa Ahmad sendiri meluahkan rasa bangga dengan kejayaan para pelajar USIM dalam dunia perdebatan.

“Kejayaan para pelajar dalam debat telah membantu mengharumkan nama USIM dan ini dilihat sebagai satu kebanggaan di mana pelajar kita juga mampu berjaya dalam pelbagai bidang”, ucap Professor Datuk Musa Ahmad ketika malam pertandingan akhir Piala Naib Canselor USIM Kelapan Mac lepas.

Terbaru, USIM menjadi juara dalam Debat Ekonomi Piala Ibn Khaldun, tempat Keempat Debat Intelek Pengguna Siswa, Juara Pertandingan Pidato Adat Perpatih Peringkat Antarabangsa dan pasukan debat USIM berjaya mara ke separuh akhir dalam Piala Debat Diraja 2015. Paling membanggakan apabila Pendebat USIM berjaya mengharumkan nama negara apabila diiktiraf antara pendebat terbaik kejuaraan Debat IUADC, Qatar pada April lepas.

KD.jpg

Carta Organisasi Kelab Debat USIM Kredit:FB Kelab Debat

Selain menempa kejayaan, peranan KD USIM sangat besar di mana fungsinya tidak terhad kepada menguruskan hal ehwal ahli kelab dan para pendebat. Malahan menurut Pengerusi KD USIM, Muhamad Amirul Razali, KD USIM turut menggalas tanggungjawab besar menguruskan pertandingan yang tidak kurang hebatnya seperti Debat Inter Tamhidi, Debat Naib Canselor, Debat Asean, Debat Integriti dan banyak lagi.

“Sebagai sebuah kelab yang aktif, KD USIM sentiasa memberi pendedahan berterusan kepada ahlinya. Pertandingan yang dianjurkan akan melibatkan ramai pelajar USIM di mana penglibatan bukan sahaja terhad sebagai pendebat malahan sebagai ahli jawatankuasa dan pengurusan”, ulas Muhamad Amirul.

KD 2.jpg

Muhamad Amirul bersama piala-piala kejayaan Kelab Debat

Kredit: Foto Muhamad Amirul

Pencapaian KD USIM mengecapi banyak kejayaan dalam debat membuktikan bahawa debat di USIM mendapat sambutan yang sangat menggalakkan namun terselit juga cabaran yang harus ditangani.

“Ramai warga USIM yang ingin menjadi pendebat dan ini dilihat sebagai perkara yang baik, namun kami agak kekurangan pendebat Bahasa Inggeris di mana kebanyakan yang mahir dalam Bahasa Inggeris menetap jauh di Kampus Pandan Indah dan sukar untuk memberi komitmen terhadap KD USIM ”, jelas Muhamad Amirul lagi.

Memasuki debat secara tidak sengaja bermula dari tahun satu apabila diajak oleh senior telah mengubah hidup Muhammad Arif Che Soh, pelajar tahun tiga jurusan Komunikasi apabila kini menjadi salah seorang pendebat Bahasa Melayu utama universiti.

“Kenangan paling indah ialah apabila saya tercalon antara lima pendebat terbaik kesuluruhan dalam beberapa pertandingan Debat Perdana IPT yang saya sertai”, bicara Muhammad Arif yang menyifatkan ia sebagai kenangan paling manis beliau sepanjang berkecimpung dalam debat.

KD Arep.jpg

Muhammad Arif kini merupakan antara pendebat utama Bahasa Melayu universiti

Kredit: Foto Muhammad Arif

Tidak usah gusai mengenai minat atau tidak dalam debat. Menurut Muhammad Arif, minat terhadap debat itu dapat dipupuk apabila menyertai dan mengalami sendiri dunia perdebatan.

“Dunia perdebatan sangat menarik. Di samping dapat menambah pengetahuan, ia juga dapat mengasah bakat pengucapan awam anda sekaligus menjadi nilai tambah dalam kemahiran seseorang”, jelas Muhammad Arif lagi.

KD USIM maju setapak lagi kehadapan dengan penganjuran pertandingan berprestij iaitu Debat Asean Bahasa Arab antara sekolah dan universiti pada Ogos ini dan juga Debat Integriti pada September ini dengan kerjasama Jabatan Integriti Malaysia.

Diharap KD USIM akan terus maju mengangkat nama USIM sebagai antara institusi debat tersohor di Malaysia.

 
 
 

Comentarios


© 2023 by MOUNT SILICON. Proudly created with Wix.com

bottom of page