Persidangan Mahasiswa: Medium Mahasiswa Salur Buah Fikiran
- Muhd Mursyidi
- May 22, 2015
- 2 min read

Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM yang hadir pada majlis persidangan.
Nilai- “Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah”. Begitulah pepatah yang dipetik daripada ilmuan Islam terdahulu yang membawa maksud ilmu yang hanya dituntut tetapi tidak disebarkan kepada yang lain untuk diamalkan sebagai rutin hatta diklasifikasikan sebagai sesuatu yang rugi.
Mahasiswa adalah antara golongan intelek dalam menyalurkan idea sebagai manfaat bersama tetapi dek kerana tiada medium yang komprehensif dan berkesan, maka natijahnya buah fikiran itu tersekat dalam diri sendiri sahaja. Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM) mengambil pendekatan baru dengan menganjurkan sebuah persidangan mahasiswa baru-baru ini.
Menurut pengarah Persidangan Mahasiswa, Aminnurrashid Saharom, persidangan ini merupakan salah satu inisiatif daripada pihak MPP USIM bagi mahasiswa untuk menyalurkan buah fikiran mereka dengan lebih tepat dan beretika untuk kebaikan semua pihak.
“Persidangan ini bertujuan untuk membawa suara mahasiswa secara terus dan telus selain melihat dan mempertimbangkan keutamaan dan kehendak mahasiswa itu sendiri dalam menyumbang idea kepada pihak pentadbiran, dan saya bersyukur kerana mereka manfaatkan peluang yang terhidang ini dengan sebaiknya”, ujar Amin yang merupakan Naib Yang Di-pertua Satu MPP USIM.
Ketika persidangan berlangsung, sebanyak lapan usul telah dibawa masuk ke dewan persidangan untuk dibahaskan. Walaubagaimanapun, hanya enam usul diterima dan selebihnya ditolak oleh ahli dewan.
Menurut Timbalan Pengarah Persidangan Mahasiswa, Nor Hazirah Mat Saad, sambutan persidangan pada hari tersebut ternyata luar daripada jangkaan kerana kehadiran mahasiswa yang memenuhi lebih daripada separuh dewan. Situasi ini jelas menunjukkan mahasiswa cakna akan isu – isu semasa yang berlaku di sekitar kampus mahupun di luar kampus.
“Hazirah menegaskan bahawa setiap perbincangan dan lontaran idea mahasiswa pada malam tersebut tidak terhenti di peringkat ini sahaja malah akan dibawa kepada pihak pentadbiran bagi membincangkan dengan lebih mendalam”, ujarnya.
Sehubungan dengan itu, menurut salah seorang mahasiswi yang turut hadir, Nur Syazwani Binti Khalid, 21, banyak input yang boleh dipelajari bersama daripada persidangan kali ini. Selain dapat mengumpul buah fikiran mahasiswa, ia juga memberi nafas baru kepada mahasiswa di samping dapat menyuntik kesedaran akan kepentingan dalam menyumbangkan idea dan pandangan.
“Persidangan ini dapat membela suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran dan seterusnya membantu dan memudahkan perjalanan Majlis Perwakilan Pelajar dalam melaksanakan tugas mereka”, ujar Syazwani merupakan pelajar tahun dua jurusan Matematik Kewangan di USIM.
Persidangan yang bertemakan ‘Selangkah menuju ke Parlimen Mahasiswa’ ini tampil berbeza kerana hanya melibatkan mahasiswa semata-mata dan tidak melibatkan mana – mana wakil daripada pihak pentadbiran turut serta. Hal ini bagi memudahkan lagi mahasiswa bersuara tanpa segan silu untuk melontarkan hujah mereka.
Beberapa perkara tergempar disuarakan dalam persidangan ini untuk pihak MPP memberi perhatian ialah supaya menyuarakan kepada pihak berkenaan untuk mengambil langkah dan tindakan selanjutnya.

Salah seorang mahasiswa sedang membentangkan usul

Tetamu jemputan dari Kolej Universiti Insaniah (KUIN)Kedah, turut hadir selaku pemerhati
Comments