ANUGERAH BINTANG POPULAR : SUNTIK SEMANGAT SENIMAN
- Muhammad Arif
- Jun 5, 2015
- 3 min read

Shaheizy Sam merangkul Anugerah Bintang Paling Popular 2014
Anugerah berprestij tanah air iaitu Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 kembali lagi bagi menyabung kesinambungannya pada edisi lalu. Anugerah ini merupakan majlis penganugerahan tahunan anjuran Berita Harian untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada semua seniman dan penghibur popular dan ternama yang digemari berdasarkan kualiti dan reputasi. Anugerah ini akan menobatkan pemenang yang dikira berdasarkan kepada jumlah undian dari para pembaca Berita Harian dan juga akhbar-akhbar lain terbitan The New Straits Times Press.
Idea hebat penganjuran majlis ini adalah ilham dan cetusan idea bernas pada 1987 oleh bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian iaitu Datuk A. Nazri Abdullah dan bersama beberapa orang individu penting dalam dunia hiburan ketika itu khususnya bahagian Pengarang Unit Hiburan.
Bagi pengajuran tahun 2014 ini, ramai seniman baharu yang terlibat dalam dunia hiburan datang bersama amanah dan harapan para peminat mereka untuk menggondol dan membawa balik kategori yang dipertandingkan. Ahad lalu, Arena of Stars, Genting Highlands menjadi saksi akan pertaruhan sengit antara artis yang tercalon bagi merebut anugerah. Perkara yang dapat dibanggakan juga bila mana penganjuran kali ini mendapat pertambahan penonton iaitu sebanyak 5.4 juta yang menyaksikan siaran langsung anugerah berprestij ini.
Walaupun begitu, ada juga yang menyifatkan anugerah seperti ini tidak wajar untuk diteruskan dan menambah lambakan anugerah di Malaysia. Tuduhan dan persepsi sebegini seharusnya tidak wujud sebelum kita menganalisis akan kepentingan dan nilai baik akan penganjuran anugerah ini.
PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN
Seperti objektif utama yang diletakkan seawal penganjurannya pada 1987 iaitu untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada semua seniman berdasarkan hasil persembahan berkaitan lakonan, nyanyian, lawak dan sebagainya. Kesungguhan dan usaha yang telah disampaikan oleh artis tersebut telah menjadi ukuran kepada keberkesanan dan nilai sesebuah persembahan dan lakonan mereka. Para peminat akan tertarik dan teruja akan teknik persembahan yang dipersembahkan dan gaya lakonan yang dibawakan.
Tidak semua artis mampu untuk menonjolkan persembahan dan lakonan yang bisa membuatkan orang ramai tertarik, jadi dengan wujudnya anugerah seperti ini yang diambil kira dari hasil undian orang ramai telah menjadi kayu ukur akan nilai dan mutu persembahan seseorang seniman itu. Pemenang kategori Anugerah Bintang Paling Popular dan kategori Pelakon Filem Lelaki Popular (2014) iaitu Shaheizy Sam.
Pertambahan bilangan undian beliau sebanyak tiga kali ganda berbanding dua tahun lalu cukup untuk membuktikan akan kepercayaan yang diberikan oleh peminatnya yang terpukau dan tertarik akan gaya lakonannya. Umumnya kita jelas, penganugerahan ini diberikan berdasarkan kepada usaha seniman yang akhirnya menjadi ukuran kepada kejayaan dan ia bukanlah sia-sia semata.
GALAKAN KECEMERLANGAN
Memang tidak ramai seniman Malaysia yang mampu menyinar setanding seniman Bollywood yang lain. Jika dibandingkan dengan seniman barat, kita terpaksa akur akan wujudnya sedikit perbezaan. Namun, walaupun wujud sedikit perbezaan itu bukan batu penghalang untuk mereka tampil cemerlang di waktu mendatang.
Dengan adanya Anugerah Bintang Popular ini yang mengiktiraf hasil usaha seniman Malaysia dapat memberi aspirasi kepada mereka untuk menjadi yang terbaik dalam bidang yang disertai seperti bidang nyanyian, lakonan mahupun lawak. Penganugerahan trofi bagi setiap kategori semestinya membakar semangat seniman kita untuk memilikinya. Lebih terbukti apabila sepanjang anugerah ini diadakan, trofi bagi setiap kategori sering bertukar tangan antara pemenang yang berbeza.
Jadi, senario sebegini dapat mewujudkan saingan yang sihat sesama mereka untuk menjadi yang terbaik. Namun, impian untuk menjadi yang terbaik itu perlu dipadankan dengan usaha dan persembahan yang perlu ditambah baik dan semakin cemerlang dari masa ke semasa.
Konklusinya, Anugerah Bintang Popular ini sememangnya mempunyai nilai dan matlamat yang digariskan. Penghargaan dan pengiktirafan serta galakan kecemerlangan menjadi jawapan kepada persepsi negetif yang dilemparkan.

Persembahan selingan daripada kumpulan Bocey dan Yasin
Video pengumuman Anugerah Bintang Paling Popular
Comments