top of page
Recent Posts
Follow Me
  • Facebook Long Shadow
  • Google+ Long Shadow
  • Twitter Long Shadow
  • LinkedIn Long Shadow
Search By Tags

Busking Medium Baru Dalam Dakwah

  • Nor Adira
  • Apr 4, 2015
  • 4 min read

IMG_0236[1].JPG

Usim Buskers mempersembahkan nyanyian mereka

Jarum panjang jam menunjukkan hampir lima petang. Saya dan beberapa orang rakan membantu dalam persiapan dengan menyusun pembesar suara, mikrofon dan alat-alat muzik lain sebelum memulakan persembahan muzik jalanan atau lebih kenali sebagai busking.

Kelihatan para pengunjung di Alamanda mula datang berkerumun untuk melihat apa yang bakal dihidangkan kepada mereka. Malah jelas kelihatan keliru dan tanda tanya daripada riak wajah mereka melihat ramai anak-anak muda berpakaian tshirt hitam seragam bertulis ‘USIM Street Dakwah’.

Ketukan perkusi, petikan gitar dan tiupan seruling mula menyelinap masuk ruangan legar Alamanda dan saya mula memetik butang kamera DSLR untuk merakam beberapa foto sempena program USIM Street Dakwah anjuran Pusat Kebudayaan, USIM.

USIM Buskers mula menghiburkan orang ramai dengan beberapa buah dendangan lagu yang berteraskan Islam yang membawa mesej berguna dengan objektif untuk menerapkan pembelajaran dakwah melalui seni muzik agar pengunjung lebih menghayati keindahan Islam. Walaupun lagu-lagu yang dipersembahkan berbentuk nasihat namun ia berjaya menggamit perhatian pengunjung di situ kerana mereka sudah mula mengikut bait-bait lirik di bibir mereka.

Saya merupakan ahli Pusat Kebudayaan USIM turut terhibur dengan persembahan mereka dan mula terfikir sejenak bertapa mudahnya kita menyampaikan dakwah kepada orang ramai tanpa mereka sendiri sedari.

Sejarah busking

Pada mulanya perkataan “busker” dipetik dari perkataan Sepanyol “buscar” yang bermakna ‘untuk mencari’ di mana mereka mencari kekayaan dan sumber rezeki melalui bakat diri yang ada.

Manakala istilah “busking” maksudnya mengadakan persembahan seni di tempat awam seperti menyanyi, menari, menyanyi, berlakon, bersajak dan sebagainya tanpa dikenakan sebarang kontrak atau bayaran. Mereka memperolehi tips daripada servis mereka iaitu menghiburkan orang.

Sejarah mencatatkan bahawa aktiviti busking telah lama wujud dalam kehidupan orang-orang Roman apabila sudah menjadi amalan mereka memberi wang dan tips kepada buskers yang mengadakan persembahan di dataran-dataran pusat bandar dan jalan utama.

http://www.london-performers.co.uk/issue3/histroy-street-performers.html

Sebenarnya di Malaysia, aktiviti busking juga telah lama wujud sejak tahun 1980-an lagi. Lokasi aktiviti busking ini selalu tertumpu di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Jangan terkejut, sebenarnya ramai artis terkenal kita dicungkil bakatnya dari situ antaranya Dato’ M. Nasir, Kopratasa dan Ramli Sarip. Bahkan baru-baru ini di Anugerah Juara Lagu (AJL) kita dipukaukan dengan persembahan Caliph Buskers yang berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan persembahan ikhlas mereka.

Dakwah dalam hiburan

Saya melihat fenomena busking kini merupakan satu inisiatif dakwah yang kreatif untuk membimbing dan mendidik bukan hanya tertumpu kepada generasi-Y malah golongan berusia juga. Mengetengahkan seni muzik yang mempunyai nilai murni dan jati diri berjaya membuktikan bahawa dakwah bukan hanya boleh didapati di forum-forum atau ceramah masjid sahaja.

Sudah menjadi fitrah manusia yang tidak boleh sunyi daripada hiburan malah ia menjadi elemen penting dalam kehidupan. Maka dengan itu ia bertepatan dengan Islam iaitu agama fitrah membenarkan hiburan selagimana ia tidak bercanggah dengan Islam.

Saya sebagai seorang mahasiswa sendiri lebih memilih alunan muzik dan nyanyian hanya dengan mencapai mp3 sahaja untuk hilangkan tekanan dan melahirkan mood gembira setelah penat menyiapkan assignments. Bahkan, menurut beberapa kajian dengan mendengar muzik dapat merangsang beberapa bahagian otak yang memberi kesan secara tidak langsung kepada daya penglihatan dan ingatan.

Dek kerana remaja sangat berhajat akan hiburan, strategi mengajak mereka mengenal keindahan islam melalui lagu dan muzik sangat tepat dan efektif. Ramai remaja beranggapan belajar ilmu agama sangat bosan dan mengantuk namun kini pendekatan seperti busking berjaya mencuri perhatian lebih ramai golongan muda.

Pernah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa ketika beliau mengiringi seorang wanita Ansar ke rumah suaminya (majlis menyambut tetamu), lalu baginda SAW bersabda kepadanya :“Wahai Aisyah, tidak adakah bersama-sama kamu akan hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar mereka teruja / suka akan hiburan.” Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menghalang akan hiburan yang disukai oleh kaum Ansar dalam meraikan majlis perkahwinan mereka selagimana ia berlandaskan dengan syara’. Jika sebarang perkara tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak haram maka hukumnya harus.

Konsep berdakwah sambil berhibur juga digunakan oleh beberapa orang ustaz di Malaysia dimana mereka sering menyelitkan beberapa buah lagu ketika ceramah seperti Ustaz Kazim Elias yang sangat suka mendendangkan lagu-lagu klasik Allahyarham seniman P. Ramle. Tidak lupa juga penceramah agama yang sangat dikenali dengan lagu-lagu Hindustan beliau iaitu Ustaz Haslin Ibrahim sehingga mendapat gelaran ‘Ustaz Bollywood’. Cara mereka ini bukan hanya mampu memeriahkan suasana malah ilmu dan input yang disampaikan mudah menyelinap masuk ke jiwa pendengar.

Batasan dalam berhibur

Tidak hanya bergantung pada hiburan sahaja, ilmu yang komprehensif perlu dibajai dengan iman dalam setiap penyampaian dakwah supaya ia menjadi ikon kepada mata masyarakat. Contohnya, program USIM Street Dakwah selitkan mutiara kata, dalil-dalil al-Quran, dan kisah-kisah anbia dalam persembahan mereka. Secara tidak langsung penonton dapat menghayati keindahan Islam dan mengingati antara satu sama lain.

http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/7540-islam-dan-pembentukan-budaya-berhibur

Lagu dan seni gaya persembahan juga tidak boleh meninggalkan impak yang dalam dan kekal dalam diri pendengar sehingga merangsang syahwat yang boleh mendorong kepada zina hingga mendatangkan kemudaratan dan mengabaikan tanggungjawab.

Dalam sibuk mencari sinar kegembiraan, kita sebagai khalifah di bumi ini harus sentiasa cakna dengan segala apa yang kita lakukan mestilah selaras dengan Islam. Hal ini kerana apa yang disyariatkan Allah itu adalah sebaik-baiknya.

DSC_0011.JPG

Antara pengunjung yang hadir menyaksikan Usim Street Dakwah

DSC_0014.JPG

Video: Persembahan USD Di Alamanda

 
 
 

Comments


© 2023 by MOUNT SILICON. Proudly created with Wix.com

bottom of page