Naib Canselor USIM santuni Orang Asli Taman Negara Pahang
- Muhd Mursyidi
- Apr 20, 2015
- 2 min read

Dato’ Musa bin Ahmad, Naib Canselor USIM memilih juadah makan tengahari di Taman Negara
Nilai – Jawatankuasa Pengurusan Universiti Universiti Sains Islam Malaysia (JKPU USIM) mengambil inisiatif berbeza dalam menyumbang tenaga dalam menyebarkan dakwah dengan menyantuni keluarga orang asli di Taman Negara Pahang yang terletak di Jerantut, Pahang baru – baru ini.
Lawatan ke kampung orang asli ini antara aktiviti yang diadakan dalam Program Tautan Kasih oleh JKPU USIM bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM) pada 17 April hingga 19 April di samping perbincangan meja bulat tentang beberapa isu di sekitar universiti.
Menurut Yang dipertua MPP USIM, Abdul Muiz Abdul Hakim, program seperti ini sangat bermanfaat kepada masyarakat kerana mengambil kira tentang penyebaran dakwah kepada orang asli yang tiada agama.
“Manfaatkanlah masa kita di sini untuk berdakwah sebanyak mungkin dan sedaya mungkin mengikut kemampuan masing – masing kepada orang asli kerana telah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menyebarkan Islam kepada mereka ketika berada di situ”, ujar Muiz dalam ucapan beliau.
“Ikhlaskan niat dalam setiap perbuatan kerana yang menilai itu tahu apa yang di dalam hati kamu”, tambah Muiz ketika memberi ucapan beliau ketika di kaki Bukit Terasek, Taman Negara.
Sehubungan dengan itu, Naib Canselor USIM, Dato’ Musa bin Ahmad, ketika memberi ucapan sempena majlis perkongsian dua hala berkata, “Antara tujuan program ini adalah melahirkan blueprint untuk mewujudkan sinergi antara JKPU USIM dan MPP USIM sekaligus mempunyai perjajaran antara dua pihak ini dalam mencapai USIM ‘16 dan USIM ‘25”.
“Program yang melibatkan dua pihak ini memberi satu pengertian dalam mewujudkan sebuah keluarga harmoni di samping tadabbur alam yang terbentang luas ini”, ujar beliau bila ditanya mengenai objektif program ini.
Menurut Aminnurashid Saharom, salah seorang peserta Program Tautan Kasih ini menyatakan bahawa objektif program ini berjaya kerana melibatkan pihak JKPU bersama MPP USIM selaku wakil mahasiswa dalam menyuarakan pendapat dan cadangan dalam beberapa perkara kebajikan mahasiswa.
“Objektifnya tercapai kerana apa yang kita rasa, mereka (JKPU) juga turut merasainya selain dapat berbual dan berbincang dengan lebih santai,” tambahnya ketika ditemubual selaku Naib Yang dipertua satu MPP USIM sesi 2014/2015.
Program Tautan Kasih yang julung kali diadakan ini USIM melibatkan JKPU bersama MPP USIM selaku wakil mahasiswa dalam menyuarakan pendapat dan cadangan dalam beberapa perkara kebajikan mahasiswa.
Program tamat pada 19 April dengan amanat daripada Naib Canselor USIM pada majlis perasmian penutup.
klik link untuk informasi tambahan:
https://www.facebook.com/MPPUSIM?fref=ts
http://www.tamannegara.asia/?gclid=CPOznKPCysUCFYOTfgodXzYA6w

Yang dipertua MPP USIM, Abdul Muiz Abdul Hakim ketika sesi tazkirah bersama peserta
Comments