Jangan Pandang Enteng Penyebaran Di Media Sosial
- Ejen Berita Arika
- May 6, 2015
- 2 min read

Kredit: www.debate.org
Masalah penyebaran maklumat tanpa kesahihan yang jitu semakin menular seiring dengan kemajuan teknologi perhubungan masa kini. Kebelakangan ini, maklumat dan berita mengenai sesuatu kejadian acapkali disebarkan melalui platform perhubungan popular media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, WeChat, dan macam-macam lagi.
Menurut CyberSekurity Malaysia, agensi khas di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebanyak 12 peratus peningkatan kepada 11,918 kes pada 2014 berbanding 10,636 kes pada tahun sebelumnya direkodkan agensi tersebut berkenaan dengan insiden keselamatan siber seperti penyebaran maklumat palsu.
https://m.youtube.com/watch?v=_eKdmIScUzU

Statistik jenayah siber pada tahun 2014 Kredit: CyberSecurity Malaysia
Namun, kebelakangan ini terdapat peningkatan terhadap keselamatan siber di Malaysia. Menurut Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata bahawa Malaysia mencapai tempat ketiga antara 193 negara yang juga ahli International Telecom Union.
“Malaysia juga berada di tempat pertama dalam siber sekuriti di rantau Asia mengatasi negara-negara Asean lain dalam persediaan menangani jeanayah siber”, jelas Tan Sri Mohd Arzumi lagi.
Walaupun begitu, tidak dinafikan wujud juga sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab gemar mereka-reka cerita. Tambahan pula, masyarakat begitu mudah menyebarkan maklumat tanpa kesahihan yang mengundang pelbagai kesan buruk seperti fitnah atas talian apatah lagi jika ia melibatkan institusi awam seperti pihak polis dan badan berkuasa lain.

Statistik penggunaan media social dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kredit: www.wearesocial.org
Misalnya, ketika kejadian banjir besar yang melanda di Kelantan pada musim tengkujuh lalu, beberapa berita palsu berleluasa di media sosial mengenai kematian mangsa-mangsa banjir yang disorok kerajaan yang kononnya sumber dipetik daripada sebuah stesen berita.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/berita-palsu-banjir-skmm-akan-panggil-14-lagi-1.346378
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kepada Bernama bahawa pihak beliau akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.
“Mesej - mesej seperti ini tidak patut diviralkan kerana ianya hanya akan memburukkan keadaan. Dalam keadaan seperti ini seharusnya mereka membantu mangsa banjir ini bukannya mengeruhkan lagi keadaan”, jelas Datuk Mazlan lagi.
Harus diingat bahawa negara kita merupakan negara berdaulat dan menjaga keharmonian dan ketenteraman negara adalah tanggungjawab bersama. Tindakan menyebarkan berita palsu melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak terlepas daripada undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas iaitu denda sehingga RM50, 000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan dengan itu, masyarakat harus lebih cakna dalam menerima dan menyebarkan maklumat atau berita yang mereka peroleh. Islam sendiri melarang umat manusia untuk menyampaikan perkara yang mereka tidak tahu kebenarannya kerana dikhuatiri boleh memporak-perandakan keadaan dan mengaibkan pihak tidak bersalah.
Bagi Hamizah Helmi, pelajar Komunikasi tahun tiga, media sosial bertujuan untuk berhubung dengan rakan-rakan dan berkongsi maklumat.
“Sesuatu maklumat yang hendak diviralkan haruslah disemak kesahihannya terlebih dahulu dan bukan semata untuk mencari populariti dan menyalahkan mana-mana pihak”, ulas Hamizah lagi.
Antara langkah yang boleh dipraktikkan ketika menerima maklumat atau berita antaranya sentiasa mengkaji latar belakang maklumat atau berita yang diperoleh. Kenal pasti identiti penghantar maklumat atau berita tersebut. Jika tidak pasti akan status kesahihan maklumat atau berita tersebut, jangan sebarkan untuk mengelak sebarang kemungkinan yang tidak elok timbul daripada penyebaran tersebut.
Jadikan langkah ini langkah bersama untuk membuktikan bahawa masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang peka dan bijaksana dalam pengurusan maklumat dan berita diperoleh.
Comments