Solat Gerhana Bulan dan Matahari: Wajib Atau Sebaliknya
- Ahmad Shauqi
- May 7, 2015
- 3 min read

Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan daripada cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi daripada matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya daripada matahari.
Solat gerhana bulan atau dikenali juga dengan nama ‘Solat Sunat Khusuf’ boleh ditunaikan sama ada secara berjemaah atau bersendirian dan waktunya bermula ketika sedang berlakunya bulan gerhana sehingga selesai gerhana tersebut.
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Solat%20sunat/9.htm
Galakan dan dorongan mengerjakan ibadah solat sunat gerhana ini berdasarkan satu hadis diriwayatkan Imam Bukhari, Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya matahari dan bulan itu tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat”.
Namun para ulama’ berbeza pendapat tentang hukum pelaksanaan solat gerhana tersebut. Sheikh Muhammad bin Umar bin Salim Bazmul menguatkan pendapat bahawa solat gerhana ini hukumnya adalah sunat muakkad berdasarkan terjemahan hadis ini. “Terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah S.A.W lalu Rasulullah S.A.W mengimamkan solat orang ramai. Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan khalayak manusia dengan memuji Allah S.W.T serta menyanjungNya, kemudian bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupan (lahirnya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah S.W.T. Apabila kamu semua melihat hal itu maka berdoalah kepada Allah S.W.T serta bertakbir, menunaikan solat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: “Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seseorang pun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hambaNya sama ada lelaki atau wanita melakukan penzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis”.
Berdasarkan hadis ini baginda memerintahkan agar mengerjakan solat itu berserta bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun, tidak ada seorang pun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak ulama’ perintah tersebut adalah bersifat sunat.
Namun, kesepakatan ulama’ yang berijmak bahawa solat gerhana adalah sunat muakkad kurang dipersetujui kerana terdapat ulama’ yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, walaupun majoriti ulama’ mengatakan hukum solat gerhana adalah sunat muakkad tetapi Abu Awanah di dalam sahihnya menyatakan bahawa hukum mengerjakan solat gerhana adalah wajib. “Aku tidak pernah menemui ulama’ yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukilkan daripada Imam Malik yang menyamakan hukum solat gerhana dengan hukum solat jumaat. Ibnu al-Manayyar menterjemahkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat gerhana adalah wajib. Di samping sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi juga berpendapat sedemikian.
Kemudian Syeikh al-Albani berpendapat bahawa solat gerhana adalah wajib. Menurut beliau, sesiapa yang mensunatkannya (solat gerhana) bererti dia telah mengabaikan perintah dan suruhan yang datang daripada nabi Muhammad S.A.W tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu wajib. Imam al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di dalam kitab al-Sail al-Jarrar.
Tambahan lagi, Syeikh al-Utsaimin pula menegaskan bahawa majoriti ulama’ menyatakan solat gerhana adalah sunat muakkad. Namun, sebahagian ulama’ menyatakan ia wajib sama ada termasuk kategori fadhu ain atau fardhu kifayah kerana terdapat perintah Rasulullah S.A.W agar mengerjakan solat gerhana tersebut. Malah, perintah itu menunjukkan wajib.
Setelah itu, beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat gerhana adalah wajib. Tidak diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun melalui kajian golongan cerdik pandai agama. Manakala pendapat jumhur ulama’, mereka tidak memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali daripada sabda nabi Muhammad S.A.W kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya. “Apakah ada lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak! Kecuali solat sunat.-hadis sahih Bukhari.
Petikan dalam hadis ini tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain lima waktu apabila wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan (tidak) sebagaimana sabda baginda S.A.W ialah berkaitan solat-solat rawatib yang berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak kewajipannya.
Demikian begitu, solat gerhana adalah wajib sama ada fardhu ke atas setiap individu(fardhu ain), atau dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin(fardhu kifayah). Maka, apa yang dapat disimpulkan adalah pelaksanaan solat gerhana ini adalah satu perkara yang dipandang tinggi dalam kalangan para ulama’ sehingga ada yang mewajibkannya. Kajian hukum sunat atau wajib berkait dengan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan untuk mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan atau sebaliknya.
Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah nabi Muhammad S.A.W sekiranya sesuatu sunnah itu datang daripada hadis yang sahih, maka mereka akan berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
http://www.pkspiyungan.org/2011/12/gerhana-matahari-dan-bulan-dalam.html
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram, “Seorang muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardhu atau sunat. Apa yang penting ialah melakukan segala perintah dan syariat Allah S.W.T semata-mata mengikut sunnah nabi Muhammad S.A.W dan mengharapkan ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Comments